Thursday 30 April 2015

SAJAK : DUNIA KINI

0


Apakah dirimu
Mahu menjadi seperti Tuhan?
Namun dirimu
Mencipta, memusnah, menghukum
sesuka atmamu.

Apakah dirimu
Sanggup menjadi hamba
kepada wang dan kuasa?
Dirimu sibuk mengejar
limpahan kemewahan
yang membutakan mata
dan juga hatimu.

Sedarlah manusia
Dunia ini tidak lebih
daripada sekadar permainan
Akhirat itulah
kehidupan yang sebenar-benarnya abadi
Namun
untuk berjaya di akhirat
dirimu perlu
memenangi permainan ini
Sudah tentu dengan mengikuti
Segala peraturan-Nya.


-NUR ATHIRAH BINTI RAMLI-

#Semoga mendapat sedikit ilmu yang bermanfaat untuk meneruskan dakwah Ilahi . Insyaallah ! :)

Wednesday 29 April 2015

SAJAK : SYUKUR

0



Menyesal
Rasa kesal menguasai diriku
Mengapa aku tidak pernah bersyukur ?
Sentiasa ghairah mengejar duniawi
Asyik mempersoalkan apa yang aku ada

Mengapa ?
Terlalu ego untuk sujud kepada-Nya
Mengapa lidahku terlalu keras untuk menyebut '' alhamdulillah ?

Dek kerna terlalu tamak menguasai kekayaan
Akhirnya aku tersungkur
Terlantar sepi di katil ini
Tiada teman yang tidak pernah aku hargai
Keseorangan mengemudi bahtera kehidupan

Namun aku masih bersyukur
Masih diberi peluang oleh-Nya
Terus berjuang meneruskan kehidupan
Ku isi detik-detik berharga ini dengan taubat nasuha
Moga taubatku diterima oleh-Nya

-MOHD NAZIRUL AKMAL BIN MALIEK ZALIEZAM-

SAJAK : AKU TETAP AKU

0


Aku tetap aku,
Di sini mulanya sebuah perjalanan,
Untuk mencari tujuan hidup,
Untuk mencapai sebuah matlamat, 

Aku tetap aku,
Cita-cita memaksa kita untuk berpisah,
Akur kepada takdir,
Demi mencari haluan masing-masing,



 Aku tetap Aku,
Rindu kini tidak tertanggung,
Mengenang kembali sebuah cerita,
Susah dan senang,
Tetap bersama.

 Meski takdir memisahkan,
 Meski lama tidak bersua,
 Kenangan tetap ku ingat
 Kerana
 Aku tetap aku.

-ZAI NURFATINNI BINTI AZMI-

Tuesday 28 April 2015

CERPEN FUTURISTIK : PERJUANGAN

0

         


     Sebuah kereta menghampiri jet peribadi itu. Dua orang lelaki kelihatan keluar daripada kereta itu . Seorang daripada membawa beg bimbit yang dipegang rapi . Juruterbang robot yang telah menunggu mereka menghampiri dan memberikan tabik hormat , lalu dibalas oleh mereka berdua . Mereka kemudiannya masuk ke dalam jet peribadi itu .

   “Masih awal lagi”, detik hati Uthman selepas memerhatikan jarum jam di tangannya menunjukkan 10.30 pagi .

     Karim datang menghampiri dirinya . “Kita masih mempunyai 2 jam 30 minit sebelum waktu operasi”, kata Karim disambut dengan anggukan daripada Uthman .

     “ Ingat saudaraku , ini semua untuk saudara kita , inilah jihad kita”, kata Karim lagi lalu menepuk bahu Uthman .

    Karim merupakan seorang ahli daripada kumpulan ini . Kumpulan jihad yang dinamakan Perjuangan Mukminin . Lelaki berbangsa Perancis berketinggian enam kaki ini ditemui Uthman 14 bulan yang lalu di bumi Palestin . Beberapa hari selepas peristiwa yang menggoncang dunia . Karim juga seperti Uthman , menjadi mangsa kekejaman tentera zionis yang tidak berperikemanusiaan . Masih segar dalam ingatannya peristiwa yang menyayat hati itu .

    Takbir pada pagi itu membangunkan dirinya daripada tidur yang lena . Hari itu adalah hari kemenangan bagi seluruh umat Islam seluruh dunia . Selepas sebulan menentang tentera nafsu akhirnya umat Islam meraih kemenangan . Segalanya bermula dengan baik . Umat Islam dapat menyambut hari yang bermakna itu dengan penuh riang . Namun , segalanya berubah . Dentuman yang kuat  dan gegaran bumi mengejutkan Uthman . Dia berlari mendapatkan ibu angkatnya yang bernama Aminah untuk menenangkannya . Jeritan Allahuakbar kedengaran . Adik angkat Uthman, Ali menjerit menyatakan tentera zionis menyerang . Uthman tergamam . Mengapa ini terjadi ? Tidak bolehkah manusia ini membiarkan rakyat Palestin untuk sehari ?

    Bapa angkat Uthman, Abdul Rahim datang lalu mengarahkan agar Aminah berjaga di dalam rumah , manakala Uthman dan Ali mengikuti dia untuk berperang . Ya . Berperang . Berperang menentang manusia yang tiada hati . Senjata laser diberikan aku pegang erat . Aku berlari ke luar rumah mengikuti bapa angkatku .

    Uthman lihat bilangan tentera yang sangat ramai . Bukan hanya tentera zionis , malahan tentera Amerika Syarikat turut menyertai . Uthman melepaskan beberapa das tembakan ke  arah mereka . Mereka membalas dengan tembakan . Saat itu mata Uthman melihat tembakan itu mengenai Ali . Dia tumbang di hadapan Uthman . Hatinya membara . Uthman mengacukan senjata ke arah mereka . Belum sempat dia melepaskan tembakan sebiji bom dijatuhkan 20 meter dihadapanku. Uthman tercampak 10 meter ke belakang  berlanggar dengan dinding . Badannya rebah . Kaku tidak dapat bergerak .

   Penglihatannya kabur . Uthman dapat melihat yang Abdul Rahim cuba bangkit meneruskan perjuangan . Namun , langkahnya dihentikan oleh seorang askar zionis . Askar itu menarik rambut Abdul Rahim dengan kasar lalu menyembelih  dirinya . Telinga Uthman menangkap dengan jelas ketawa kepuasan askar itu . Air mata mula membasahi pipinya . Dia mengetap gigi menahan geram sambil berusaha untuk bangun . Usahanya gagal tetapi dia tidak berputus asa lalu terus mencuba . Selang beberapa minit kemudian  Aminah diheret keluar dari rumah . Kedengaran teriakan kesakitan daripada Aminah . Dia melawan lalu menikam askar itu dengan pisau yang disembunyikannya . Askar itu rebah dan menggelentar . Tubuh askar itu kemudiannya berhenti bergerak . Askar itu mati . Rakannya yang berang melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah Aminuh . Hati Uthman pilu . Dia cuba untuk bangkit namun tubuhnya tidak mampu untuk berjuang . Penglihatannya mula kelam . Dia pengsan .

    Lamunan Uthman dikejutkan oleh Karim . “Jauh termenung . Ingat siapa ?”, soal Karim sambil tersenyum padanya . Secawan teh dihulurkan kepada Uthman .

   Uthman mengambil cawan itu . “Bukan siapa tetapi apa”, jawabnya sambil membalas senyumnya .

   Karim tersenyum memahami . “Sabar saudaraku . Tindakan mereka akan dibayar . Mereka akan merasai kepedihan yang kita alami ”, kata Karim .

   Uthman hanya mengangguk , mengiyakan apa yang dikatanya . Dia lihat jam ditangannya menunjukkan sudah 11.07 pagi . Tubuhnya disandarkan pada kerusi sambil merenung ke luar tingkap . “Rasulullah tidak mengajar umat Islam untuk membalas dendam . Baginda tidak mengajar kita mengamalkan keganasan . Hentikan kegilaan ini ! ”, kata-kata itu bermain-main di benak fikiran Uthman . Persoalan itu mula timbul selepas dia mengalami mimpi yang aneh beberapa malam yang lalu . Uthman menikmati keindahan pemandangan di luar tingkap .“Adakah permandangan indah ini akan bertukar kepada kepulan asap hitam nanti ?”, detik hatinya .“Ya Allah , berikanlah aku petunjuk-Mu”, detik  hati Uthman lagi sebelum melelapkan mata untuk seketika .



   Gua yang sedikit kelam diwarnai dengan cahaya merah . Deringan daripada sebuah kotak kecil memecah kesunyian di dalam gua . Umar datang lalu menekan punat di kotak itu . Hologram berbentuk seorang lelaki berketinggian 6 kaki kelihatan . Hidungnya mancung dengan kulit yang putih . Kelihatan lelaki itu seperti berbangsa Perancis . “Assalammualaikum”, kata lelaki di dalam hologram itu .

  “Waalaikumussalam, adakah semuanya berjalan dengan lancar?”, kata Umar .

   “Semuanya berjalan dengan baik tuan . Tiada sebarang gangguan ”, balas lelaki di dalam hologram itu .

   Umar tersenyum melepaskan rasa lega di dalam hatinya . “Baiklah Karim , pastikan operasi ini berjalan dengan lancar . Sekiranya dia mengganggu , kau tahu apa yang perlu dilakukan”, kata Umar lagi sebelum menekan punat di kotak itu . Hologram sebentar tadi hilang daripada pandangan .

   Operasi ini untuk umat Islam . Dia bertindak sebagai ketua operasi ini selepas diberikan amanat oleh ketua kumpulan jihad ini , Mustafa . Mustafa merupakan insan yang bertanggungjawab menubuhkan kumpulan ini . Lelaki  Rusia beragama Islam ini adalah sukarelawan yang hadir ke Palestin selepas peristiwa berdarah itu . Niatnya bukan sekadar membantu tetapi dia ingin membalas serangan itu . Dia bertekad Amerika Syarikat dan Israel akan mendapat balasannya . Dia membiayai keperluan kumpulan ini .

   Dirinya terkenangkan isteri dan anak-anaknya yang terkorban semasa peristiwa itu . Sekeping gambar dikeluarkan daripada laci mejanya . Dia menatap gambar itu . Gambar keluarganya . Keluarganya yang sudah tiada . Masih segar dalam ingatannya peristiwa berdarah itu .

   Tentera Amerika Syarikat dan zionis menyerang seluruh Palestin tanpa mengenal erti kemanusiaan . Mereka menyerang di saat umat Islam menyambut Aidilfitri . Berpuluh-puluh bom digugurkan . Bumi Palestin bergoncang . Mereka hadir dengan kereta kebal . Mereka menyerang bagai haiwan buas . Menghancurkan apa sahaja yang ada di laluan mereka . Menembak sesiapa sahaja yang mereka lihat . Tidak kira lelaki mahupun wanita , kanak-kanak atau yang tua . Tindakan mereka meragut berpuluh ribu nyawa . Rakyat Palestin kehilangan kelurga mereka .

   Tindakan mereka adalah jenayah dunia . Masyarakat dunia termasuk rakyat Amerika Syarikat sendiri bangkit membantah tindakan mereka sekeras-kerasnya .  Namun mahkamah dunia menyatakan mereka tidak bersalah . Amerika Syarikat mendakwa tenteranya memberontak lalu menyertai zionis dalam serangan itu . Israel menyatakan mereka cuma mengambil hak mereka . Masyarakat dunia menentang mereka .

   Tidak adil . Pisang berbuah dua kali . Sekali lagi , mereka terlepas daripada hukuman .  Namun begitu , Mustafa bertekad untuk menghukum mereka . Mustafa dan kumpulan jihad . Ya , mereka akan dihukum !



   Asap tebal mengaburi pemandangan bandar . Kedengaran tangisan kanak-kanak . Tangisan yang menyatakan mereka dalam kesedihan . Uthman cuba untuk mencari arah suara itu . Lalu , anak matanya menangkap pemandangan yang sungguh tragis . Kelihatan seorang lelaki mendukung anaknya sambil berteriak meminta pertolongan . Anaknya itu dalam keadaan yang sangat menyedihkan , dia mengalam kecederaan yang parah . Dia dapat melihat kenderaan terbakar . Robot jururawat berkejar memberikan pertolongan . Kenderaan polis memandu laju berkejar ke tempat kejadian . Robot polis cuba menenangkan keadaan dan member arahan . Keadaan bandar yang sangat kucar-kacir . Uthman terpandang Rumah Putih , kediaman Presiden Amerika Syarikat mengalami kebakaran . Ya , Rumah Putih . Tempat di mana bom yang mereka pasang . Sebuah bom yang dinamakan sebagai ‘Da Vinci’s Bomb’ yang akan membuatkan kematian manusia bagaikan sebuah seni . Bom yang membuatkan seseorang akan ‘menikmati’ permandangan yang indah sebelum menemui ajal . Sebuah lagi bom yang sama ditempatkan di Tel Aviv, Israel . Letupan bom itulah puncanya . Kanak-kanak menangis . Orang kehilangan insan tersayang . Adakah ini hukuman yang diterima Amerika Syarikat ? Adakah rakyat Amerika Syarikat yang bersalah ? Persoalan demi persoalan mula menyerang akalnya secara bertubi-tubi .

   Tidur Uthman dikejutkan oleh Karim. “Adakah kau tidak apa-apa ?”, soal Karim selepas melihat rakannya itu yang mengigau .

   “Aku mengalami mimpi”, balas Uthman .

   “Mimpi ?”, soal Karim pelik . “Apa yang kau mimpi ?”, soal Karim lagi .

   Uthman menjelaskan pada Karim tentang mimpinya . Riak wajah Karim mula berubah sedikit demi sedikit . Keraguan mula timbul di hati Karim . Dia meragui Uthman . Padanya, itulah tindakan yang wajar . Tindakan itu adalah hukuman kepada Amerika Syarikat . “Kita harus hentikan perkara ini . Ini bukan jihad . Ini adalah dendam ! Rasulullah tidak pernah mengajar umatnya untuk berdendam !”, Jelas uthman dengan panjang lebar . 

    Riak muka Karim menunjukkan kebengisannya . “Tetapi mereka yang menyerang kita . Ya , kita sedang berperang dan mereka yang menyerang kita terlebih dahulu . Kita masih berpegang pada syariat Islam ! Prinsip perang Islam menyatakan berperang untuk mempertahankan diri , kita berperang menuntut maruah . Itulah perkara yang sedang kita lakukan . Kita sedang berjihad di jalan-Nya !”, kata Karim pada Uthman dengan nada yang kasar . Sepucuk pistol diacukan kepada Uthman .

   “Kau tidak akan menganggu perjuangan ini”, kata Karim .

   Uthman bangkit dari tempat duduknya . “Adakah kau pasti kita sedang berjihad ?”, soal Uthman kepada Karim . “Jika ini jihad, jihad apa yang mengorbankan nyawa insan tidak berdosa ? Adakah kanak-kanak,kaum wanita dan orang-orang tua itu yang membunuh saudara kita di Palestin ? Bukankah prinsip perang Islam sendiri menyatakan bahawa mereka tidak boleh diapa-apakan ? Cuba kau fikir menggunakan akalmu saudaraku . Jangan kau biarkan nafsu amarah menguasai dirimu . Cuba kau renungkan . Adakah ini jihad atau kegilaan ?”, kata Uthman lagi .

  

  Karim kelihatan bingung . Cuba memikirkan apa yang dikata oleh Uthman . Tiba-tiba , Uthman menghampiri lalu mengacukan sepucuk pistol ke arah Karim .“Aku tidak akan membiarkan nyawa insan tidak berdosa diragut lagi”, kata Uthman kepada Karim . Peluh mula membasahi dahi Karim . Keadaan meenjadi tegang .“Gunakan akalmu saudaraku”, kata Uthman lagi .

   Karim berundur . Pistolnya dibiarkan jatuh . Terduduk dia selepas mendengar persoalan demi persoalan yang dilontarkan oleh Uthman . Fikirannya buntu . “Aku..aku tidak tahu”, jawab Karim terketar-ketar .

   Uthman menhampiri Karim .“Saudaraku, apa yang kita perjuangkan ini adalah salah . Kita harus menghentikan kegilaan ini”, balas Uthman . Jam ditangannya ditatapi . Jarum jam jelas menunjukkan mereka hanya mempunyai 5 minit sahaja lagi . “Karim,adakah kau bersamaku ? Atau kau masih bekeras meneruskan kegilaan ini ?”, soal Uthman sambil menghulurkan tangannya .

   Wajah Uthman ditatapi Karim . “Aku bersamamu saudaraku”, jawab Karim sambil tersenyum lau menyambut tangannya itu . Uthman tersenyum . Karim dipeluknya . Tiba-tiba , jam mereka berdering . Mereka menjawab panggilan itu .

   Hologram Umar terbentuk . “Mengapa bom itu masih belum dilancarkan ?”, soal Umar dengan nada keras .

  “Kami tidak akan melakukannya tuan ”, balas Uthman .

  “Ini bukan pilihan , ini adalah arahan !”, jawab Umar dengan berang sebelum Uthman mematikan panggilan itu .

   “Tindakan kita menyelamatkan dunia saudaraku”, kata Uthman kepada Karim sambil menepuk bahu rakannya itu . Karim tersenyum .

   Tiba-tiba , pintu juruterbang dikuak . “Banggg !”, satu tembakan dilepaskan tepat mengenai dahi Karim . Karim jatuh . Uthman tergamam . Sepantas kilat tangannya cuba menggapai pistol yang diletakkanya di atas meja . Namun , dia terlewat . Satu tembakan sekali lagi dilepaskan . Kali ini , dia menjadi mangsa .  Tembakan itu mengenai dadanya . Dia rebah . Nafasnya tercungap-cungap .

   Dia dapat melihat penembak itu melangkah merapati dirinya . Lelaki itu duduk di kerusi yang berhadapan dengannya . Uthman terkejut . Wajah itu bukan lagi asing dalam hidupnya . Lelaki itu adalah Mustafa , ketua .

  “Kau sudah mengetahui hakikatnya bukan ?”, soal Mustafa lalu ketawa .“Maaf Uthman, aku melakukan semua ini bukan untuk jihad , tetapi untuk perang . Ya , perang . Aku mendahagakan perang . Melihat pertumpahan darah yang berlaku bagaikan sebuah wayang yang begitu mengasyikkan diriku . Aku seronok menikmatinya . Ianya pasti hebat sekiranya perang berlaku sekali lagi . Letupan ini akan menjadikan ia satu reality . Sayang sekali aku tidak mempunyai pejuang yang bersemangat seperti kau di dalam pasukanku”, kata Mustafa . Pistol diacukan ke kepala Uthman . Tembakan dilepaskan . Uthman menemui ajalnya . Mustafa tersenyum .

  Mustafa melangkah ke arah komputer riba yang terpasang . Satu tekanan pada punat ‘Y’ akan melancarkan letupan itu sekali gus menghasilkan perang dunia ke-4 . “Satu langkah kecil untuk seorang manusia, tapi satu langkah yang besar untuk manusia sejagat”, gomel Mustafa seorang diri lalu menekan punat itu . Mustafa tersenyum . Langkahnya menuju ke dok juruterbang .

  “Permainan bermula”, kata Mustafa tersenyum sinis .

-MOHD NAZIRUL AKMAL BIN MALIEK ZALIEZAM-

PUISI : SEDARKAH KITA

0



Sedarkah kita?
Tentang nasib saudara seagama,
Yang ditindas,
Dirampas hak asasi manusia?

Sedarkah kita?
Mereka disana,
Menangis,
Meratap,
Atas kematian ahli keluarga,
Yang dihukum tanpa salah.

Sedarkah kita?
Saudara kita di Palestin, Syria,
Bermandi darah,
Berhujan peluru,
Tiap hari,
Tiap saat,
Demi menegakkan agama Allah,
Yakni Islam.

Ayuhlah semua,
Ayuh kita bangkit,
Ayuh kita bersatu,
Menghulurkan bantuan,
Demi meringankan bebanan yang ditaggung mereka.

Sekali lagi,
Aku merayu,
Ayuhlah semua insani yang bergelar ''Islam'',
Mari kita bantu,
Mari kita tolong,
Saudara seagama kita yang kian ditindas,
Hari demi hari.

Biarpun hanya sedikit yang kita beri,
Jangan kita risau,
Telah Allah janjikan,
Balasan buat kita di Akhirat nanti,
Yang langsung tidak kita,
Bayangkan mahupun jangkakan

-NURUL ARIESSA BINTI AMRAN-

Monday 27 April 2015

PUISI : AJARKAN AKU

0



ajarkan aku ilmu di dunia,
agar tidak ku sesat terkapai-kapai,
di dunia yang penuh helah dan tipu daya,
yang sentiasa mencari mangsa,
untuk dilalaikan hatinya dengan keindahannya

ajarkan aku ilmu agama,
agar tidak ku tenggelam dengan hasutan syaitan,
yang sentiasa menghasut tidak kira masa dan tempat,
juga agar mampu kuharungi kehidupan dunia,
dalam menuju kehidupan akhirat sana,

ajarkan aku adab dan santun,
agar tidak ku sombong dan meninggi diri,
agar tidak ku carut sesuka hati,
agar ku sentiasa merendah diri,
agar ku sentiasa menjaga adab dan budi,
kepada makhluk tuhan di atas dunia,

ajarkan aku,
bantulah aku,
bimbinglah aku,
agar aku mendapat redha-Nya.
-KHAIRUL NA'IM BIN KAMARUDIN-

SAJAK : ADIK

0



Adik , ana yakin semua inginkan seorang adik kan ? Bagi yang ada tu, cepat ucapkan syukur hanya kepada Allah kerana Dia mengurniakan adik kepada kalian . Bagi yang tiada adik , jangan berasa sedih . Ada hikmah kenapa Allah tidak mengirimkan seorang adik kepada kalian . Percayalah , pasti ada sesuatu yang Allah nak ajar kita tu . Believe me . Redhalah dengan ketentuan Ilahi . Allah suka dengan orang yang bersyukur dan orang yang redha . Semoga kita sentiasa berada dalam golongan orang yang bersyukur dan redha itu . Insyaallah . 
Okay , hurm , hari ni , ana nak kongsi sedikit puisi berkaitan adik . Hopefully bermanfaat .. :) Selamat membaca dan menimba sedikit ilmu daripada puisi ini . Insyaallah . 
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Adik,
Dia mahu lahir ke dunia,
Melihat keindahan alam ciptaan Maha Kuasa,
Melihat siapa ibu dan bapanya,
Merasai kehidupan seperti manusia biasa.

Kenapa,
Tidak diberi peluang untuk menjadi manusia
Ayah dan ibu sungguh kejam,
Membiarkan adik keseorangan, kesepiaan, kesejukan,
Hanya kerana cacat cela yang dialaminya.

Adik,
Teringin sekali ku melihat wajahmu,
Wajah yang dikatanya hodoh,
Teringin sekali ku menggenggam jari jemarimu,
Jari-jari kecil yang tidak begitu sempurna,
Teringin sekali ku bermain denganmu,
Sekiranya kau diberi peluang,
Untuk merasai dunia yang penuh pancaroba.

-NUR SYAFIQAH BINTI MD YUSOFF-

Sunday 26 April 2015

PUISI : SAYANGI KELUARGA

0


Bismillahirrahmairrahim .. Insyaallah hari ini kita akan memahami dan mendalami maksud yang terkandung dalam puisi pendek ini . Nampak biasa , namun ana yakin puisi ini serat dengan pengajaran yang berguna . Selamat membaca semua Syabab dan Fatayat Agama ! 

Bahagia seluruh semesta
bermula dari sebuah keluarga
dari titis susu ibu tersayang
terbinalah sungai kasih yang panjang


Tumbuh dari keringat ayah
kita perah pengorbanannya yang melimpah
air matanya mengalir di darah kita
membina semangat dan cita-cita


Rentaslah seribu lautan
kembaralah di serata benua
takkan kau temui semurni cinta
semurni cinta keluarga
bila langkah remajamu ditusuk sembilu
kembara dewasamu diamuk nafsu


Kenanglah pesan ibu
ingatlah pesan ayah
kembalilah ke jalan ALLAH

-MOHAMAD JUFFRI BIN MUKMIN-

PUISI : KASIH AYAH

0


Assalamualaikum. Apa khabar dirimu ? Imanmu sihat ? Alhamdulillah jika sihat. Jika kurang itu , cepat cepat cari penawarnya ya.

Hurm , ana yakin semua ada ayah right ? Ada orang panggil abah , ada yang panggil ayah , abi , baba , papa .. and tidak ketinggalan juga daddy right ? Jangan nak tipu ana lah . Mesti ada yang panggil begitu walau tak semua . Panggillah apa jua ayahmu itu asalkan panggilan itu sopan dan baik untuk menunjukkan bahawa kita hormat dan sayang dia . Kan kan ? hehe , 

Okaylah , memandangkan semua ada ayah,abah,baba,daddy,abi,papa and so on tu, marilah sama sama kita menghayati puisi ini .. marilah kita kenang segala jasa dan usaha ayah kita dalam membesarkan kita . semoga Allah mengampuni setiap inchi kesilapan dan dosa ayah kita .. Amin ! :')


Ayah......
Meskipun wajahmu ditelani usia,
Kau tetap keluar untuk berusaha,
untuk melaksanakan tanggungjawabmu sebagai seorang ayah,
dengan mencari nafkah untuk anak-anakmu,
demi membesarkan anak-anakmu,
dengan sinar harapan untuk melihat mereka berjaya,
tanpa memikirkan keupayaan dirimu,
Yang kini semakin menjangkau usia.

Ayah...
Kau sanggup pertaruhkan masamu tidurmu,
untuk melayan segala kerenah anak-anakmu,
tangisanku yang berderai di tengah malam,
Namun,
Kau seakan tidak pernah bosan,
Kau menimangku beserta ucapan indahmu,
Kau menimangku beserta ucapan indahmu,
Kau hapuskan tetesan air mataku,
Kau redakan ku dari tangisan.

Ayah...
Kini,anakmu sudah dewasa,
Namun, tidak pernah kau tinggikan nadamu,
atas segala kesalahan anak-anakmu,
Tidak pernah kau mengangkat tangan kepada anakmu,
Begitu besar kesabaranmu ayah,
Begitu tabah kau membesarkan anak-anakmu.

Ya Allah,
Kau ampunilah segala dosa-dosanya,
Kau berkatilah hidupnya,
Di dunia mahupun di akhirat,
Kau jagalah dia untukku,
Kerana dia adalah ayah terbaikku,

Terima kasih ayah atas segala pengorbananmu untuk ku.

-ATIRA BINTI AZMI-

CERPEN FUTURISTIK : DIA HANYALAH SYAITAN ...

0


Ha , Syabab Fatayat Agama tengah buat apa tu ? hehe , insyaallah kalian melakukan sesuatu yang dituntut agama kan ? Insyaallah . carilah ilmu yang berguna untuk tegakkan agama Allah tau .. jangan menyimpang ke tempat yang bukan bukan tau .. :')
Petang ni, ana nak kita semua , Syabab dan Fatayat agama untuk baca kisah ini .. Ambil pengajaran dari kisah yang bagi ana sangat baik . hehe , *masuk bakul angkat sendiri . astaghfirullahal 'azim
------------------------------------------------------------------------------------------------------
          Ringtone Make Me Strong  memecah kesunyian. Konsentrasi aku yang sedang membaca buku‘Robot Life’ terganggu. Aku meletakkan buku itu di sebelah dan bangun mencapai earphone di atas meja.

“Astaghfirullahal’azim, orang tengah syok feeling ada pula yang potong line.” Aku merungut

Segera aku memasang earphone di telinga lalu menekan punat answer di jam. Muka seorang pemuda tertera di skrin jam itu.

“Assalamualaikum. Eh kau Farid. Kenapa call aku ?” Aku memulakan perbualan.

“Waalaikumussalam. Aku nak jumpa kau boleh ? Kau free tak hari ni ?” Tanya Farid.

“Insha-Allah free. Kenapa nak jumpa ?”

“Aku rindu kau lah, hehe. Lagipun ada benda aku nak cakap.”

“Kau ni dah macam ajak aku dating je. Ke kau gay ? OMG !” Aku berseloroh.

“Amboi, sedap je kau gay kan aku. Kau ni tak boleh beza ke antara gay dengan member forever.”  Farid membuat muka.

“Aku baru gurau sikit dah buat muka sepuluh sen macam tu. Chill lah.” Selamba aku memujuk

“Macam lah aku tak faham perangai kau tu. Suka sangat menyakat. Okay lah, bateri aku nak habis ni. Nanti jumpa kat tempat biasa pukul 3. Bye, Assalamualaikum” Sempat Farid membuat gaya peace sebelum mematikan panggilan.

Aku tersenyum. Lalu aku merebahkan badan ke atas katil dan mengambil buku yang tak terhabis baca tadi.
Tak lama kemudian, alarm ku berbunyi.

‘Masa untuk Qailullah abang’

Aku tersenyum apabila terdengar suara itu. Sengaja aku merakam suaranya untuk jadikan alarm. Pengubat rindu lah katakan.

“Terima kasih sayang . Abang rindu sayang.” Kataku sendirian. Senyuman hambar diukirkan.

Mata dipejam. Dunia menjadi gelap sebentar.

 ***

Jam menunjukkan pukul 2.45 petang. Aku meluncur laju dengan skateboard kesayanganku hanya pada gear tiga. Sambil itu aku melihat suasana sekeliling. Keadaan lalu lintas yang tidak terlampau sesak seperti dahulu.

Dunia kini semakin gah dengan transformasinya. Mungkin sesetengah pelusuk di dunia ini tidak menjangka perubahan yang barangkali tidak terima oleh akal. Dunia kini sedang mengalami transformasi yang lebih advance. Walaubagaimanapun, aku lihat semua makhluk bumi sibuk dengan dunia mereka.

Dunia yang hanya persinggahan bagi jangka masa yang teralalu pendek. Mereka terlampau taksub dengan hal keduniaan. Adakah mereka lupa tentang akhirat yang akan menjadi rumah tetap kita nanti ?
Sedang geligat memikirkan tentang hal kemanusiaan, tiba-tiba skateboard ku yang meluncur laju kini semakin perlahan dan akhirnya berhenti.

“Wahai deck ku yang comel, kenapa lah kau buat hal time gawat macam ni.” Aku cuba istighfar bagi menahan daripada terus merungut. Salah aku juga kerana tidak cas penuh sebelum pergi.

“Terpaksalah aku jalan kaki pergi park.”Aku mengambil keputusan untuk menggunakan jalan pintas.

GPS di swatchphone aku aktifkan bagi memudahkan perjalananku. Malas aku nak cari jalan sendiri. Earphone ku masih lagi terlekat di telinga sambil membawa deck. Lagu Skyfall by Adele menjadi peneman setia. Gaya aku saling tak tumpah macam budak jalanan. Biarlah apa orang nak kata, sudah style aku begini.

Aku merasakan banyak pasang mata yang memandang pelik ke arahku. Aku berjalan laju mengejar masa. Farid tentu sedang menunggu aku.

Masa bergerak begitu pantas.

***
            Aku berjalan menuju ke arah taman yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan menghijau dan bunga-bunga yang mampu menarik perhatian kumbang dan rama-rama. Jauh beza daripada keadaan yang dahulu. Kata ummi, dahulu taman ini tempat lepak sampah masyarakat ! Di sinilah tempat mereka buat maksiat, hisap dadah, main judi dan lain-lain lagi. Kalau tiada usaha kerajaan menanganinya, alamatnya negara ni kotor dengan sampah masyarakat seperti mereka.

Aku berjalan dan menukar siaran berita di swatchphone. Aku meneruskan langkah sambil mendengar berita yang disampaikan dari corong earphone ku.

“Penjenayah bagi kes pembunuhan yang semakin rancak berleluasa masih tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Namun, pihak polis melaporkan bahawa kes ini dilakukan oleh dua orang penjenayah yang…..” 

Sebelum pemberita itu meneruskan kata-katanya, aku terus menekan punat off.

Riak muka aku berubah. Aku mengalihkan padanganku ke bawah. Bibir terus mengucap zikrullah.

‘Ya Allah, kuatkanlah hambaMu ini.’ Doaku dalam hati.

Malaysia mungkin kelihatan aman kalau dilihat dari segi luarannya dan pembaharuan teknologi baru. Tetapi kalau diselongkar dengan lebih dalam, isu ummah dan perpaduan rakyat amatlah kritikal. Pertumpahan darah semakin menjadi budaya bagi sesebuah negara. Tidak mustahil aku akan menjadi mangsa yang seterusnya.

Aku menghirup udara segar. Tiada lagi asap dari kenderaan yang membuatkan aku berasa loya dan sesak nafas. Kini semuanya bergantung kepada tenaga solar dan bateri.

“Tengah berangan ke cik abang oi” Sapa Farid.

Aku terkejut apabila Farid muncul secara tiba-tiba di sebelahku. “Kau ni salam pun tak ada. Terperanjat aku tau.” Balasku sambil memukul perlahan bahu Farid. Farid hanya ketawa.

Farid adalah rakan karibku daripada sekolah menengah lagi. Dia adalah satu-satunya rakan yang paling aku percaya. Waktu susah, dia mesti tolong aku. Memang bestfriend forever lah !

“Hehe.. Sorry lah aku tak sengaja. Assalamualaikum.” Sambung Farid sambil tersenyum.

“Waalaikumussalam. Ha kau nak apa jumpa aku ?” Kataku pada Farid lalu duduk di atas bangku kayu yang berhampiran. Deck skateboard ku sandarkan pada bangku yang sama.

Farid mengambil tempat di sebelahku. “Kau okay ?” Kata Farid.

Aku terdiam sebentar. “Okay je.”

“Baik kau berterus terang dengan aku”

Aku menarik nafas panjang. “Aku tak akan maafkan pembunuh tu...” Aku mengetap bibir. Farid hanya diam membisu.

“Disebabkan dia aku jadi macam ni” Sambungku. Bahu ku dipaut erat olehnya. Terasa kehangatan ukhuwah mengalir daripadanya.

Perlahan air mataku menitis. “Aku rasa tak sempurna Farid…”

Nobody’s perfect.” Kata Farid.

But totally I’m the worst.”

So, kau nak futur dengan takdir Allah ?”

“Aku hilang segala-galanya Farid..”

“Kalau kau lari dari menerima hakikat, jiwa kau makin tertekan, hati kau makin sempit dan fikiran kau makin keliru. Sebab tu dalam Islam ada konsep muhasabah.”

Aku diam. Aku menelan air liur. Kata-kata Farid buatku tersentak
.
Farid sambung, “Selama aku kenal kau, setahu aku kau ni kuat. Malah lebih kuat daripada aku. Kau lah yang selalu nasihatkan aku untuk terima apa pun ujian daripadaNya. Tak kan kau pula yang nak futur.”

Aku menangis. Menangis sepuas-puasnya. Tak pernah aku merasa ujian seberat ini. Aku memang pandai cakap. Tapi apabila kena pada hidung sendiri, baru padan muka !

“Kalau aku ambil langkah dari awal, mesti tidak akan jadi begini.” Kata ku dengan sisa baki tangisan.

Farid memegang bahuku. “Aku ingat lagi apa yang kau pesan, dalam hadis sahih riwayat Imam Muslim ada mengatakan, jika terjadi sesuatu kepadamu, jangan katakan, 'Kalau aku berbuat, maka terjadi ini dan itu.' Tapi katakan, 'Allah telah menakdirkan. Apa sahaja yang dia kehendaki, maka Dia kerjakan.' Kerana kata 'kalau' itu membuka ruang kepada amal Syaitan.”

Aku mengesat air mata yang tersisa dengan hujung lengan bajuku. “SorryThanks ingatkan aku.”

Aku memandang sekilas ke arah Farid. Aku rasa bersyukur dapat rakan sepertinya. Setiap masalah akan aku adu pada dia. Dia sudah banyak berubah. Dia bukan lagi Farid yang berada dalam tampuk jahiliah. Dia sudah berhijrah. Alhamdulillah.

Aku mengalihkan pandangan ku ke langit. Melihat burung-burung riang berterbangan. Hatiku berasa tenang seketika melihat keindahan Tuhan. Subhanallah.

***
 Cuaca petang ini agak mendung. Mungkin menandakan awan akan menitiskan airnya sebentar lagi. Aku mempercepatkan langkahku masuk ke perkarangan rumah. Aku meletakkan ibu jariku di scanner untuk membuka kata laluan pintu masuk. Pintu dikuak. Belum sempat aku melangkah masuk, Ain sudah berlari ke arahku dengan penuh gembira.

“Papaaa !” Dia memanggilku.

Ain yang hanya paras pinggangku memeluk kakiku. Terserlah senyuman lebar di mukanya. Aku tertawa kecil lalu mendukungnya. Ku cium pipi anak kecilku itu. Satu-satunya anak tunggalku. Hanya dengan melihat Ain, sudah cukup untuk  menceriakan hidupku.

“Comelnya anak papa ni.” Aku mengusap rambutnya yang kerinting.

Lantas dia mencium pipi kiriku dan tersenyum hingga menampakkan barisan giginya yang putih.

“Papa, Ain teringin nak peluk mama.”

Aku terkedu. Rasa sedih menghimpit. Segala perasaan berkumpul di lubuk hati.

“Ain rindu arwah mama ?” Soalku. Ain mengangguk mengiyakan kataku.

Sungguh aku kesian pada anak kecil ini. Hanya beberapa tahun saja diluangkan masa dengan ibunya. Ini semua salah aku ! Aku seorang suami yang dayus ! Aku tidak mampu menguruskan rumah tangga sendiri. Aku tidak pandai mendidik isteri. Aku membiarkan isteriku berjalan ke neraka ! Ya Allah, diriku ini sungguh berat dengan dosa.

Air mata mengalir di pipi.

“Papa ? Kenapa papa nangis ?” Soal Ain dengan penuh hairan.

“Tidak apa-apa sayang.” Jawabku sambil tersenyum. Ku peluk Ain dengan penuh kasih.

***

“Abanggg, tolong saya ! Selamatkan saya bang ! Arghhhhhhhhh !”

Aku cuba mencari suara itu. Aku tahu itu suara isteriku ! Aku mendengar jeritan isteriku seperti sedang menahan kesakitan. Seperti diseksa ! Tetapi, mengapa semuanya gelap ? Tiada jalan mahupun kelibat orang. Aku bingung.

“Abang, ampunkan saya…. Saya tahu saya dah banyak buat salah … Maafkan saya kerana bersikap kasar pada abang dan Ain.. Ampunkan saya bang…” Terdengar suaranya dengan nada yang sangat sedih dan terseksa.

Mataku terbuka. Mimpi. Jantungku berdegup laju. Badanku berpeluh. Tanganku menggigil.

Sekarang baru pukul 3.20 pagi. Aku istighfar berulang kali. Aku turun dari katil lantas menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu’. Sejadah ku bentangkan. Tahajud ku langsaikan. Ku luahkan segalanya pada Allah.

“Ya Allah, tidak pernah terdetik di hatiku untuk membenci isteriku. Aku tahu dia seorang isteri yang baik buatku dan ibu yang baik buat Ain. Kau ampunilah dosanya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dengan rahmatMu, Kau tolonglah hambaMu ini Ya Allah.” Perlahan air mata mengalir lalu jatuh atas tangan yang menadah doa.

Aku tahu disebalik ujian yang aku pikul, ada terselit hikmah yang baik untuk diriku. Oleh itu, aku serahkan semuanya kepadaNya.

***

Angin pagi menembusi ruang tingkap. Nyaman udara pagi ini. Aku merenung ke luar rumah. Tiada pemandangan yang mampu menangkap pemerhatianku kecuali bangunan-bangunan tinggi. Pencakar langit.

Pakaianku yang tersarung aku tanggalkan satu persatu. Tuala tidak bercorak membaluti separuh badanku. Aku duduk di hujung katil. Aku perhatikan kaki ku. Hanyalah kepingan besi kalis air. Aku menyentuhnya. Sejuk. Bahagian kakiku dipenuhi alat bantuan kekal untuk menjalani hidup seperti manusia biasa. Aku menghela nafas panjang lalu menuju ke ruang  bilik mandi.

Selesai mempersiapkan diri, aku rebahkan tubuhku di atas katil. Penat. Mungkin sekarang ini ramai yang sibuk meraikan tahun baru dengan keluarga tersayang. Di laman sosial sudah tentu penuh dengan gambar tahun baru mereka yang dimuat naik. Dahulu setiap kali tahun baru menjelang, isteriku akan sibuk pergi ke spa atau keluar dengan rakan baiknya. Umurnya baru mencecah usia 19 tahun ketika itu. Orang sekeliling pasti tidak mempercayai bahawa dia sudah mendirikan rumah tangga dalam usia itu. Pemakaiannya cukup menggambarkan dia seorang yang sosial.

Pada awal perkahwinan, bagiku dia seorang isteri yang solehah kerana setiap kataku dia turuti tanpa bantahan. Namun, beberapa tahun kemudian terdapat banyak perubahan yang aku lihat pada isteriku. Sebagai seorang suami, sudah beberapa kali aku menegurnya. Namun, pelbagai alasan yang diberikan. Setelah pelbagai cara cuba aku lakukan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai suami, masih tidak berhasil kerana egonya yang tinggi.

Keadaannya berlarutan sehingga nyawanya tergadai. Dirogol dan dibunuh kejam oleh dua orang penjenayah di hadapan mataku sendiri. Aku berada di tempat kejadian ketika itu dan cuba menyelamatkan isteriku. Walaubagaimanapun, usaha aku gagal dan aku mengalami kecederaan teruk di kaki selepas ditetak sementara isteriku sudah tidak bernyawa.

Kejadian tersebut telah membawa seribu satu perasaan. Sedih, marah, putus asa datang menyerang hatiku. Aku merasakan seperti kehidupan aku sudah tidak berakhir dan tidak mempunyai apa-apa makna selepas ini. Mengapa dunia ini begitu kejam !? Dengan bantuan teknologi yang semakin canggih dan mempunyai sistem yang baik, kes jenayah semakin berleluasa. Hanya dengan menekan satu punat di telefon, lokasi mangsa sudah dapat dikesan. Mungkin dunia ini semakin menghampiri pengakhirannya. Cuma waktunya saja kita tidak ketahui.

            Bunyi jam loceng digital mengejutkan aku daripada tidur. Dengan keadaan separuh sedar, aku menekan punat‘dismiss’ pada alat kawalan jauh. Bunyi itu tidak kedengaran lagi. Otot-otot badan ku renggangkan. Mata masih lagi berasa berat. Aku bangun  dan menuju ke bilik Ain bersebelahan dengan bilik ku. Aku gagahkan juga kaki ku melangkah dengan keadaan mengantuk.

Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke bilik Ain, aku dapati Ain sedang duduk di sudut bilik sambil berpeluk tubuh. Riak mukanya tidak menunjukkan sebarang reaksi. Aku tersenyum lalu menghampirinya. Aku menarik wayar panjang yang tersimpan di bawah perutnya lantas plag itu dimuatkan ke dalam soket yang tidak jauh daripadanya. Tenaganya mungkin sudah lemah. Aku biarkan dia dicas dan berlalu ke ruang televisyen. 

Ain hanyalah baby robot yang aku beli daripada sebuah makmal yang memperkenalkan pelbagai robot berpaksikan manusia. Aku membelinya setelah dua tahun berkahwin tidak mendapat sebarang zuriat. Walaupun Ain tidak akan mengalami proses pembesaran, cukuplah menjadi peneman dan memeriahkan keluargaku.

Suis televisyen dihidupkan. Siaran berita terpampang di kaca televisyen.

“Kurang empat jam selepas menyamun seorang wanita yang baru mengeluarkan wang di sebuah bank, dua penjenayah ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Plaza Tol Sentul Pasar, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke).

Kedua-dua suspek dikenali dengan nama Muhammad Farid, 20 dan…..”

Aku menukar siaran. Berita itu sudah dimaklumkan kepadaku semalam. Dua orang penjenayah yang telah meragut nyawa isteriku sudah ditembak mati oleh pihak polis.

Selama ini aku silap dalam menilai seorang rakan. Rupa-rupanya selama ini dia berpura-pura sepanjang persahabatan yang dianggap bermakna kepadaku. Agama Islam digunakan sebagai permainan bagi menutup keaibannya.

Ya, DIA HANYALAH SYAITAN BERTOPENGKAN MANUSIA.

***

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa apabila dikatakan kepada kamu, 'Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah,' kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit!
Jika kamu tidak berangkat, nescaya Allah akan menghukum kamu dengan azab yang pedih dan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan merugikanNya sedikit pon. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."
[At-Taubah,9:38-39]

"Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu. Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan (bacaan di waktu itu) lebih berkesan.
Sesungguhnya pada siang hari kau sangat sibuk dengan urusan-urusan yang panjang. dan sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadahlah kepadaNya dengan sepenuh hati."
[Al-Muzzammil, 73:5-8]



-FATIN NABIHAH BINTI JAIS-