Friday 26 February 2016

ADA APA DENGAN HARI JUMAAT ?

0



Ada apa dengan hari Jumaat?

1. Hari Jumaat ialah hari yang paling baik dalam seminggu.

2. Hari Nabi Adam diciptakan.

3. Hari Nabi Adam dikeluarkan daripada syurga.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anhu bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا
Sebaik-baik hari adalah hari Jumaat, kerana pada hari itulah Adam diciptakan. Pada hari itu pula dia dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari itu juga dia dikeluarkan daripadanya.

[Riwayat Muslim no. 854]


Ada apa dengan hari Jumaat?

4. Hari Jumaat hari yang digalakkan oleh Nabi untuk memperbanyakkan selawat keatas Nabi.

Kata Nabi sallallahu 'alaihi wassalam:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنْ الصَّلَاةِ فِيه
Sesungguhnya diantara hari yang afdhal bagi kalian ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari tersebut.

[Riwayat Abu Daud no. 1531; Ibn Majah no. 1085]

Dalam hadith lain para sahabat Nabi pernah bertanya bagaimanakah cara untuk berselawat kepada Nabi?

Lalu Nabi mengajar mereka berselawat. Kata Nabi:

فَقُولُوا:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ "

Kalian ucaplah:

"Allahumma solli 'ala Muhammad, wa 'ala aali Muhammad. Kama sollaita 'ala Ibrahim innaka Hamidun Majid. Allahumma baarik 'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad kama baarakta 'ala aali Ibrahim, Innaka hamidun Majid.

[Riwayat Al-Bukhari no. 4797, 6357 dan selainnya]

Boleh juga selawat mengikut susunan seperti yang diamalkan dalam Mazhab Syafie semasa membaca tahiyyat akhir.

Mari banyakkan selawat di Hari Jumaat, insyaAllah.


Ada apa dengan hari Jumaat?

5. Hari Jumaat ada satu waktu yang Mustajab doanya. Siapa yang berdoa tepat pada waktu itu, akan dimakbulkan Allah doanya selagi doa yang baik.

Kata Nabi:

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ لَسَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ فِيهَا خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ قَالَ وَهِيَ سَاعَةٌ خَفِيفَةٌ

Sesungguhnya pada hari Jumaat itu ada satu waktu yang mana tidaklah seorang Muslim itu berdoa kepada Allah meminta kebaikan tepat pada masanya melainkan akan akan dikabulkanNya. Dan waktu itu waktu yang SINGKAT (tempohnya).

[Riwayat Muslim]

Ulama' berbeza pendapat bilakah waktu yang dimaksudkan. Ada hadith lain  mengatakan sepanjang solat Jumaat, ada yang sebut ketika Imam duduk antara dua khutbah, ada juga pandangan yang kata pada akhir waktu selepas solat Asar dan sebagainya.

Ia sama seperti keadaan Lailatul Qadar yang jadi perbezaan bila waktu yang sebenarnya.

Maka mudah sahaja untuk menyelesaikannya kita banyakkan berdoa sepanjang Hari Jumaat ini di semua waktu yang berbeza pendapat dan juga di waktu lain.

Tak rugi kita banyakkan berdoa dan tak semestinya perlu sepanjang masa di atas hamparan sejadah. Berdoalah fi mana jua, Allah pasti suka.

Tak akan pernah rugi orang yang sentiasa meminta pada Tuhan yang Maha Memberi.

-

Ad-Dien Abdul Kadir.