Thursday 10 September 2015

PENYAKIT-PENYAKIT KRONIK DALAM DAKWAH

0




Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." (ali-'Imran: 133)

Selalunya rentak dakwah kita akan berubah-ubah. Ia mengikut pembacaan dan pengetahuan kita, amal soleh kita serta masalah-masalah yang kita sedang hadapi ketika itu. Malah, ia juga sangat banyak dipengaruhi oleh kefahaman orang-orang di sekeliling kita serta kaedah tarbiyah yang kita lalui.

Hakikatnya, segala usaha dan hasil dakwah ini bukanlah untuk kita. Sebaliknya, ia hanya untuk Allah s.w.t, Kerana itu, seorang da'ie yang ihsan tidak akan memandang enteng kepada perkara-perkara yang mempengaruhi dakwahnya. Dia pasti mahu memberikan usahanya yang terbaik kerana bukanlah dia berdakwah untuk sembarangan orang. Tetapi ia adalah untuk Allah, demi meraih redha-Nya sahaja. Hari ini, begitu ramai manusia yang melafazkan cintanya kepada dakwah. Tetapi, untuk mencari jiwa yang benar-benar merasai cinta itu amat payah. Mengapa ? Kerana kita lebih cenderung untuk mengkaji dan memperbaiki perkara-perkara yang mempengaruhi kerjaya, keluarga dan pelajaran kita, tetapi amat jarang sekali meneliti perkara-perkara yang mempengaruhi prestasi dakwah kita.

Aku mahu kita semua duduk dan sama-sama memikirkan jawapan kepada soalan-soalan ini.

"Apakah punca yang menyebabkan kita gagal menghasilkan rijal (pemuda) yang benar untuk mewarisi gerakan dakwah ?"

"Kenapa kefahaman kita masih rendah walaupun telah melalui pelbagai bahan ?"

"Kenapa pula getaran jiwa kita sekadar bermusim; tatkala hadirnya ujian-ujian kerdil, kitalah yang pertama sekali tercicir ?"

Dakwah ini terdiri daripada rijal-rijal yang menggerakkannya. Andai kata rijal itu hanyalah seperti lalang, yang jika dihembus sahaja pun sudah boleh tumbang, tidak perlu tunggu musuh datang menghalang. Dirinya sendiri akan jatuh terlentang bersama dakwahnya. Tetapi jika rijal itu ibarat kayu balak, walau ditebang tidak akan meliuk sedikit pun, tatkala itulah dakwah ini akan menang. 

Kerana itu, ayuh kita susuri penyakit-penyakit yang begitu banyak sekali melemahkan rijal-rijal kita pada hari ini.


1. SUKA DIDENGARI, TIDAK SUKA MENDENGAR

Ramai daripada kalangan kita suka sekali bercakap. Dan kita suka orang dengar kita bercakap.

"Bagus pemuda ini. Lancar kata-katanya."
Tetapi hakikatnya, kita tiada isi, Apa yang kita ucapkan dengan penuh semangat itu cuma ulangan-ulangan kisah yang sama. Dan kerana kita mahu didengari, maka apa yang tuturkan itu hanya apa yang manusia sukai, Bukan apa yang perlu dituturi. Lama-kelamaan, perasaan tidak suka mendengar daripada orang lain akan mula timbul.


2. BANYAK BERKATA-KATA, KURANG AMALNYA

Tidak perlukan penerangan lagi. Hakikatnya, kita semua lakukannya.


3. KEMALASAN YANG TIADA TANDINGAN.

Malas dalam pelbagai perkara. Jika malas untuk study ataupun kerja, kita menggunakan alasan kesibukan dakwah dan tarbiyah. Jika malas untuk berdakwah pula, kita menggunakan alasan kesibukan urusan-urusan dunia. Akan ada sahaja alasannya untuk menyedapkan hati jika disuruh untuk berbuat sesuatu.


4. MEMBACA BUKU-BUKU DAKWAH DAN TARBIYAH SAHAJA.

Hendak 'menulis' manusia, kita perlu memahami fitrahnya, personaliti dan perasaannya serta kemahuannya. Jika kita hanya membaca tentang soal dakwah dan tarbiyah sahaja tidak mencukupi. Kita juga perlu membaca tentang manusia, motivasi, personaliti dan lain-lain. Jika tidak, jangan tertanya-tanya mengapa kita seakan tidak reti untuk bercampur dengan orang lain.


5. BUKU DAKWAH DAN TARBIYAH PUN TIDAK BACA

Senyum. Tak perlu kata apa apa. Senyum.


6. SEMAKIN LAMA, KONONNYA SEMAKIN MATANG, TETAPI SEMAKIN TIDAK BERSEMANGAT.

Semua organisasi juga mempunyai masalah yang sama. Organisasi dakwah juga tidak terkecuali. Kata pepatah, "Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk." Tetapi, apa yang sering berlaku adalah semakin lama, 'isi' kesungguhannya makin tiada, tidak pula semakin tunduk. Bahkan, dirinya semakin mendongak dan mendada.


7. BUAT PROGRAM = BUAT DAKWAH

Program adalah dakwah.Tetapi, dakwah ini bukan semata-mata program. Kita begitu banyak merencana program. Namun, tidak pula merencana dakwah-dakwah fardiyah (individu) kita,

Kerana itu, kesungguhan dan komitmen anak-anak buah kita hanya apabila berada di IPT sahaja. Tatkala pulang bercuti, komitmen mereka juga turut bercuti. Dakwah dan tarbiyah yang mereka fahami adalah program-program yang mereka lalui. Kita membina mereka dengan menunjukkan bahawa program itulah dakwah dan tarbiyahnya.

Hakikatnya, boleh jadi kita telah adakan program yang sangat besar, tetapi jiwa-jiwa yang dibina di situ tidak dapat lebih daripada sekadar nota-nota yang tercatat di bukunya sahaja. Usaha dakwah itu perlu diteruskan selepas daripada program itu. Tetapi, sering kalli kita tidak merancang follow-up itu dengan baik.

Inilah keadaan yang perlu kita muhasabah selalu. Sesungguhnya, siapa pun kita, berapa lama pun sudah kita sertai angkatan ini dan apa pun mustawa (peringkat) kita, pada hakikatnya, tiada siapa pun yang boleh memastikan tapak kaki kita ini bisa menjejaki syurga Allah di akhirat nanti. 

Perhatikanlah segala usaha kita selama ini sedalam-dalamnya. Hisablah amal kita selalu. Mudah-mudahan, tidaklah terlalu rumit urusan hisab di mahsyar nanti. 

(Majalah Jom! Isu no. 09)