Friday 23 October 2015

DOA TERMAKBUL

0




"Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia berdoa kepada Tuhannya: "(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah 'disentuh' oleh kemudaratan (penyakit) dan Engkau ialah Tuhan yang Maha Penyayang di antara semua yang penyayang.

Maka Kami pun memperkenankan doanya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya. Dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya dan Kami lipatgandakan bilangan mereka sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Kami."

(Surah al-Anbiya' 21: 83-84)

Allah s.w.t menceritakan tentang kisah nabi Ayyub yang ditimpa ujian yang pelbagai secara berperingkat. Ujian yang menguji kesabaran dan keteguhan iman seorang Nabi.

Ujian 1 : Kemusnahan Harta

Allah s.w.t mengujinya dengan membenarkan iblis untuk memusnahkan harta baginda hingga hancur kesemuanya. Apabila ditanya tentang ujian tersebut, jawapan nabi Ayyub ialah,

'Harta ini merupakan pinjaman daripada Allah s.w.t. Maka Dia telah mengambilnya semula.'

Ujian 2 : Kehancuran Kaum Keluarga

Disebabkan kegagalan iblis mempengaruhi nabi Ayyub, lantas iblis datang mengadu pada Allah s.w.t. Lalu Allah memberi kebenaran kepadanya untuk menghancurkan kaum keluarga baginda termasuk anak-anaknya. Walau bagaimanapun, baginda tetap bersyukur kepadaNya.

Ujian 3 : Ditimpa Penyakit

Iblis datang lagi mengadu kepada Allah tentang ketabahannya. Maka Allah s.w.t memberinya peluang untuk menimpakan ke atas Ayyub a.s penyakit yang menimpa seluruh tubuhnya kecuali mata, lidah dan hatinya sahaja yang selamat. Apabila penyakit yang menimpa baginda ini menjadi semakin serius, maka semua orang termasuk kaum keluarganya menjauhkan diri daripada baginda. Hanya isterinya sahaja yang setia menjaganya serta menyediakan makan dan minum untuknya. Sesetengah riwayat dalam kitab tafsir menyatakan isteri baginda bernama Rahmah dan ia merupakan puteri kepada nabi Yusuf.

Tempoh penyakit yang menimpanya ini tidak dinyatakan dalam al-Quran. Terdapat beberapa riwayat iaitu sama ada tujuh, lapan atau lapan belas tahun. Ada juga yang meriwayatkan selama tiga tahun. Perbezaan tempoh ini ada dinyatakan oleh Ibn al-Jawzi dalam Zaad al-Maseer.

Akhirnya pada penghujung tempoh ujian itu datanglah tiga orang daripada kalangan bekas pengikut nabi Ayyub yang dahulunya pernah beriman kepadanya. Mereka lantas berkata :

"Apa yang terjadi ini ialah bukti niat Ayyub yang tak betul. Lantaran Allah s.w.t. mengenakan hukuman ini kepadanya."

Mendengar kata-kata yang berpunca daripada buruk sangka itu, lantas nabi Ayyub berdoa pada Allah :

"Wahai Tuhan ! Engkau mengetahui bahawa aku tak akan makan sehingga aku telah pastikan tiada lagi yang kelaparan, Dan Engkau mengetahui bahawa aku tak akan memakai pakaian hingga aku pasti tiada lagi yang bertelanjang."

Kemudian nabi Ayyub bersujud dan meneruskan doanya:

"Wahai Tuhan ! Aku tak akan mengangkat kepalaku hingga Engkau keluarkan aku daripada ujian ini."

Lalu Allah s.w.t. menerima doa nabi yang mulia ini. 

Di dalam kitab Zaad al-Maseer, disebutkan sebuah riwayat daripada al-Aufi daripada Ibn Abbas bahawa Allah s.w.t melupakan Ayyub daripada berdoa pada-Nya walaupun baginda banyak berzikir pada-Nya. Apabila ujian hampir berakhir, barulah baginda diwahyukan untuk berdoa.


Rahsia Doa Nabi Ayyub

Bila dihayati pendekatan doa nabi Ayyub ini, teknik bahasa (uslub) yang digunakan amat sopan oleh seorang hamba yang mengagungkan Tuhannya.


Aku 'disentuh' oleh kemudaratan  - Nabi  Ayyub tidak sesekali meminta Allah s.w.t agar mengubah keadaannya atau memohon disembuhkan daripada penyakit itu.

Sedangkan Engkau adalah Yang Maha Penyayang." - Di sini baginda menunjukkan contoh terbaik iaitu tiada yang layak disandarkan pada Allah kecuali perkara-perkara yang baik sahaja.

Setelah nabi Ayyub berdoa, Allah kemudian mengabulkan doa ini dengan segera. Baginda kembali sihat, hartanya kembali banyak dan keturunannya bertambah semula.

Kisah ini mengajar kita betapa pentingnya kita mengakui dan memuji Allah s.w.t atas segala anugerahnya. Kemudian, barulah memohon pada-Nya apa-apa yang diperlukan.

(Majalah Gen-Q : Dr. Hj. Zahazan Mohamed)