Tuesday 28 April 2015

CERPEN FUTURISTIK : PERJUANGAN

0

         


     Sebuah kereta menghampiri jet peribadi itu. Dua orang lelaki kelihatan keluar daripada kereta itu . Seorang daripada membawa beg bimbit yang dipegang rapi . Juruterbang robot yang telah menunggu mereka menghampiri dan memberikan tabik hormat , lalu dibalas oleh mereka berdua . Mereka kemudiannya masuk ke dalam jet peribadi itu .

   “Masih awal lagi”, detik hati Uthman selepas memerhatikan jarum jam di tangannya menunjukkan 10.30 pagi .

     Karim datang menghampiri dirinya . “Kita masih mempunyai 2 jam 30 minit sebelum waktu operasi”, kata Karim disambut dengan anggukan daripada Uthman .

     “ Ingat saudaraku , ini semua untuk saudara kita , inilah jihad kita”, kata Karim lagi lalu menepuk bahu Uthman .

    Karim merupakan seorang ahli daripada kumpulan ini . Kumpulan jihad yang dinamakan Perjuangan Mukminin . Lelaki berbangsa Perancis berketinggian enam kaki ini ditemui Uthman 14 bulan yang lalu di bumi Palestin . Beberapa hari selepas peristiwa yang menggoncang dunia . Karim juga seperti Uthman , menjadi mangsa kekejaman tentera zionis yang tidak berperikemanusiaan . Masih segar dalam ingatannya peristiwa yang menyayat hati itu .

    Takbir pada pagi itu membangunkan dirinya daripada tidur yang lena . Hari itu adalah hari kemenangan bagi seluruh umat Islam seluruh dunia . Selepas sebulan menentang tentera nafsu akhirnya umat Islam meraih kemenangan . Segalanya bermula dengan baik . Umat Islam dapat menyambut hari yang bermakna itu dengan penuh riang . Namun , segalanya berubah . Dentuman yang kuat  dan gegaran bumi mengejutkan Uthman . Dia berlari mendapatkan ibu angkatnya yang bernama Aminah untuk menenangkannya . Jeritan Allahuakbar kedengaran . Adik angkat Uthman, Ali menjerit menyatakan tentera zionis menyerang . Uthman tergamam . Mengapa ini terjadi ? Tidak bolehkah manusia ini membiarkan rakyat Palestin untuk sehari ?

    Bapa angkat Uthman, Abdul Rahim datang lalu mengarahkan agar Aminah berjaga di dalam rumah , manakala Uthman dan Ali mengikuti dia untuk berperang . Ya . Berperang . Berperang menentang manusia yang tiada hati . Senjata laser diberikan aku pegang erat . Aku berlari ke luar rumah mengikuti bapa angkatku .

    Uthman lihat bilangan tentera yang sangat ramai . Bukan hanya tentera zionis , malahan tentera Amerika Syarikat turut menyertai . Uthman melepaskan beberapa das tembakan ke  arah mereka . Mereka membalas dengan tembakan . Saat itu mata Uthman melihat tembakan itu mengenai Ali . Dia tumbang di hadapan Uthman . Hatinya membara . Uthman mengacukan senjata ke arah mereka . Belum sempat dia melepaskan tembakan sebiji bom dijatuhkan 20 meter dihadapanku. Uthman tercampak 10 meter ke belakang  berlanggar dengan dinding . Badannya rebah . Kaku tidak dapat bergerak .

   Penglihatannya kabur . Uthman dapat melihat yang Abdul Rahim cuba bangkit meneruskan perjuangan . Namun , langkahnya dihentikan oleh seorang askar zionis . Askar itu menarik rambut Abdul Rahim dengan kasar lalu menyembelih  dirinya . Telinga Uthman menangkap dengan jelas ketawa kepuasan askar itu . Air mata mula membasahi pipinya . Dia mengetap gigi menahan geram sambil berusaha untuk bangun . Usahanya gagal tetapi dia tidak berputus asa lalu terus mencuba . Selang beberapa minit kemudian  Aminah diheret keluar dari rumah . Kedengaran teriakan kesakitan daripada Aminah . Dia melawan lalu menikam askar itu dengan pisau yang disembunyikannya . Askar itu rebah dan menggelentar . Tubuh askar itu kemudiannya berhenti bergerak . Askar itu mati . Rakannya yang berang melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah Aminuh . Hati Uthman pilu . Dia cuba untuk bangkit namun tubuhnya tidak mampu untuk berjuang . Penglihatannya mula kelam . Dia pengsan .

    Lamunan Uthman dikejutkan oleh Karim . “Jauh termenung . Ingat siapa ?”, soal Karim sambil tersenyum padanya . Secawan teh dihulurkan kepada Uthman .

   Uthman mengambil cawan itu . “Bukan siapa tetapi apa”, jawabnya sambil membalas senyumnya .

   Karim tersenyum memahami . “Sabar saudaraku . Tindakan mereka akan dibayar . Mereka akan merasai kepedihan yang kita alami ”, kata Karim .

   Uthman hanya mengangguk , mengiyakan apa yang dikatanya . Dia lihat jam ditangannya menunjukkan sudah 11.07 pagi . Tubuhnya disandarkan pada kerusi sambil merenung ke luar tingkap . “Rasulullah tidak mengajar umat Islam untuk membalas dendam . Baginda tidak mengajar kita mengamalkan keganasan . Hentikan kegilaan ini ! ”, kata-kata itu bermain-main di benak fikiran Uthman . Persoalan itu mula timbul selepas dia mengalami mimpi yang aneh beberapa malam yang lalu . Uthman menikmati keindahan pemandangan di luar tingkap .“Adakah permandangan indah ini akan bertukar kepada kepulan asap hitam nanti ?”, detik hatinya .“Ya Allah , berikanlah aku petunjuk-Mu”, detik  hati Uthman lagi sebelum melelapkan mata untuk seketika .



   Gua yang sedikit kelam diwarnai dengan cahaya merah . Deringan daripada sebuah kotak kecil memecah kesunyian di dalam gua . Umar datang lalu menekan punat di kotak itu . Hologram berbentuk seorang lelaki berketinggian 6 kaki kelihatan . Hidungnya mancung dengan kulit yang putih . Kelihatan lelaki itu seperti berbangsa Perancis . “Assalammualaikum”, kata lelaki di dalam hologram itu .

  “Waalaikumussalam, adakah semuanya berjalan dengan lancar?”, kata Umar .

   “Semuanya berjalan dengan baik tuan . Tiada sebarang gangguan ”, balas lelaki di dalam hologram itu .

   Umar tersenyum melepaskan rasa lega di dalam hatinya . “Baiklah Karim , pastikan operasi ini berjalan dengan lancar . Sekiranya dia mengganggu , kau tahu apa yang perlu dilakukan”, kata Umar lagi sebelum menekan punat di kotak itu . Hologram sebentar tadi hilang daripada pandangan .

   Operasi ini untuk umat Islam . Dia bertindak sebagai ketua operasi ini selepas diberikan amanat oleh ketua kumpulan jihad ini , Mustafa . Mustafa merupakan insan yang bertanggungjawab menubuhkan kumpulan ini . Lelaki  Rusia beragama Islam ini adalah sukarelawan yang hadir ke Palestin selepas peristiwa berdarah itu . Niatnya bukan sekadar membantu tetapi dia ingin membalas serangan itu . Dia bertekad Amerika Syarikat dan Israel akan mendapat balasannya . Dia membiayai keperluan kumpulan ini .

   Dirinya terkenangkan isteri dan anak-anaknya yang terkorban semasa peristiwa itu . Sekeping gambar dikeluarkan daripada laci mejanya . Dia menatap gambar itu . Gambar keluarganya . Keluarganya yang sudah tiada . Masih segar dalam ingatannya peristiwa berdarah itu .

   Tentera Amerika Syarikat dan zionis menyerang seluruh Palestin tanpa mengenal erti kemanusiaan . Mereka menyerang di saat umat Islam menyambut Aidilfitri . Berpuluh-puluh bom digugurkan . Bumi Palestin bergoncang . Mereka hadir dengan kereta kebal . Mereka menyerang bagai haiwan buas . Menghancurkan apa sahaja yang ada di laluan mereka . Menembak sesiapa sahaja yang mereka lihat . Tidak kira lelaki mahupun wanita , kanak-kanak atau yang tua . Tindakan mereka meragut berpuluh ribu nyawa . Rakyat Palestin kehilangan kelurga mereka .

   Tindakan mereka adalah jenayah dunia . Masyarakat dunia termasuk rakyat Amerika Syarikat sendiri bangkit membantah tindakan mereka sekeras-kerasnya .  Namun mahkamah dunia menyatakan mereka tidak bersalah . Amerika Syarikat mendakwa tenteranya memberontak lalu menyertai zionis dalam serangan itu . Israel menyatakan mereka cuma mengambil hak mereka . Masyarakat dunia menentang mereka .

   Tidak adil . Pisang berbuah dua kali . Sekali lagi , mereka terlepas daripada hukuman .  Namun begitu , Mustafa bertekad untuk menghukum mereka . Mustafa dan kumpulan jihad . Ya , mereka akan dihukum !



   Asap tebal mengaburi pemandangan bandar . Kedengaran tangisan kanak-kanak . Tangisan yang menyatakan mereka dalam kesedihan . Uthman cuba untuk mencari arah suara itu . Lalu , anak matanya menangkap pemandangan yang sungguh tragis . Kelihatan seorang lelaki mendukung anaknya sambil berteriak meminta pertolongan . Anaknya itu dalam keadaan yang sangat menyedihkan , dia mengalam kecederaan yang parah . Dia dapat melihat kenderaan terbakar . Robot jururawat berkejar memberikan pertolongan . Kenderaan polis memandu laju berkejar ke tempat kejadian . Robot polis cuba menenangkan keadaan dan member arahan . Keadaan bandar yang sangat kucar-kacir . Uthman terpandang Rumah Putih , kediaman Presiden Amerika Syarikat mengalami kebakaran . Ya , Rumah Putih . Tempat di mana bom yang mereka pasang . Sebuah bom yang dinamakan sebagai ‘Da Vinci’s Bomb’ yang akan membuatkan kematian manusia bagaikan sebuah seni . Bom yang membuatkan seseorang akan ‘menikmati’ permandangan yang indah sebelum menemui ajal . Sebuah lagi bom yang sama ditempatkan di Tel Aviv, Israel . Letupan bom itulah puncanya . Kanak-kanak menangis . Orang kehilangan insan tersayang . Adakah ini hukuman yang diterima Amerika Syarikat ? Adakah rakyat Amerika Syarikat yang bersalah ? Persoalan demi persoalan mula menyerang akalnya secara bertubi-tubi .

   Tidur Uthman dikejutkan oleh Karim. “Adakah kau tidak apa-apa ?”, soal Karim selepas melihat rakannya itu yang mengigau .

   “Aku mengalami mimpi”, balas Uthman .

   “Mimpi ?”, soal Karim pelik . “Apa yang kau mimpi ?”, soal Karim lagi .

   Uthman menjelaskan pada Karim tentang mimpinya . Riak wajah Karim mula berubah sedikit demi sedikit . Keraguan mula timbul di hati Karim . Dia meragui Uthman . Padanya, itulah tindakan yang wajar . Tindakan itu adalah hukuman kepada Amerika Syarikat . “Kita harus hentikan perkara ini . Ini bukan jihad . Ini adalah dendam ! Rasulullah tidak pernah mengajar umatnya untuk berdendam !”, Jelas uthman dengan panjang lebar . 

    Riak muka Karim menunjukkan kebengisannya . “Tetapi mereka yang menyerang kita . Ya , kita sedang berperang dan mereka yang menyerang kita terlebih dahulu . Kita masih berpegang pada syariat Islam ! Prinsip perang Islam menyatakan berperang untuk mempertahankan diri , kita berperang menuntut maruah . Itulah perkara yang sedang kita lakukan . Kita sedang berjihad di jalan-Nya !”, kata Karim pada Uthman dengan nada yang kasar . Sepucuk pistol diacukan kepada Uthman .

   “Kau tidak akan menganggu perjuangan ini”, kata Karim .

   Uthman bangkit dari tempat duduknya . “Adakah kau pasti kita sedang berjihad ?”, soal Uthman kepada Karim . “Jika ini jihad, jihad apa yang mengorbankan nyawa insan tidak berdosa ? Adakah kanak-kanak,kaum wanita dan orang-orang tua itu yang membunuh saudara kita di Palestin ? Bukankah prinsip perang Islam sendiri menyatakan bahawa mereka tidak boleh diapa-apakan ? Cuba kau fikir menggunakan akalmu saudaraku . Jangan kau biarkan nafsu amarah menguasai dirimu . Cuba kau renungkan . Adakah ini jihad atau kegilaan ?”, kata Uthman lagi .

  

  Karim kelihatan bingung . Cuba memikirkan apa yang dikata oleh Uthman . Tiba-tiba , Uthman menghampiri lalu mengacukan sepucuk pistol ke arah Karim .“Aku tidak akan membiarkan nyawa insan tidak berdosa diragut lagi”, kata Uthman kepada Karim . Peluh mula membasahi dahi Karim . Keadaan meenjadi tegang .“Gunakan akalmu saudaraku”, kata Uthman lagi .

   Karim berundur . Pistolnya dibiarkan jatuh . Terduduk dia selepas mendengar persoalan demi persoalan yang dilontarkan oleh Uthman . Fikirannya buntu . “Aku..aku tidak tahu”, jawab Karim terketar-ketar .

   Uthman menhampiri Karim .“Saudaraku, apa yang kita perjuangkan ini adalah salah . Kita harus menghentikan kegilaan ini”, balas Uthman . Jam ditangannya ditatapi . Jarum jam jelas menunjukkan mereka hanya mempunyai 5 minit sahaja lagi . “Karim,adakah kau bersamaku ? Atau kau masih bekeras meneruskan kegilaan ini ?”, soal Uthman sambil menghulurkan tangannya .

   Wajah Uthman ditatapi Karim . “Aku bersamamu saudaraku”, jawab Karim sambil tersenyum lau menyambut tangannya itu . Uthman tersenyum . Karim dipeluknya . Tiba-tiba , jam mereka berdering . Mereka menjawab panggilan itu .

   Hologram Umar terbentuk . “Mengapa bom itu masih belum dilancarkan ?”, soal Umar dengan nada keras .

  “Kami tidak akan melakukannya tuan ”, balas Uthman .

  “Ini bukan pilihan , ini adalah arahan !”, jawab Umar dengan berang sebelum Uthman mematikan panggilan itu .

   “Tindakan kita menyelamatkan dunia saudaraku”, kata Uthman kepada Karim sambil menepuk bahu rakannya itu . Karim tersenyum .

   Tiba-tiba , pintu juruterbang dikuak . “Banggg !”, satu tembakan dilepaskan tepat mengenai dahi Karim . Karim jatuh . Uthman tergamam . Sepantas kilat tangannya cuba menggapai pistol yang diletakkanya di atas meja . Namun , dia terlewat . Satu tembakan sekali lagi dilepaskan . Kali ini , dia menjadi mangsa .  Tembakan itu mengenai dadanya . Dia rebah . Nafasnya tercungap-cungap .

   Dia dapat melihat penembak itu melangkah merapati dirinya . Lelaki itu duduk di kerusi yang berhadapan dengannya . Uthman terkejut . Wajah itu bukan lagi asing dalam hidupnya . Lelaki itu adalah Mustafa , ketua .

  “Kau sudah mengetahui hakikatnya bukan ?”, soal Mustafa lalu ketawa .“Maaf Uthman, aku melakukan semua ini bukan untuk jihad , tetapi untuk perang . Ya , perang . Aku mendahagakan perang . Melihat pertumpahan darah yang berlaku bagaikan sebuah wayang yang begitu mengasyikkan diriku . Aku seronok menikmatinya . Ianya pasti hebat sekiranya perang berlaku sekali lagi . Letupan ini akan menjadikan ia satu reality . Sayang sekali aku tidak mempunyai pejuang yang bersemangat seperti kau di dalam pasukanku”, kata Mustafa . Pistol diacukan ke kepala Uthman . Tembakan dilepaskan . Uthman menemui ajalnya . Mustafa tersenyum .

  Mustafa melangkah ke arah komputer riba yang terpasang . Satu tekanan pada punat ‘Y’ akan melancarkan letupan itu sekali gus menghasilkan perang dunia ke-4 . “Satu langkah kecil untuk seorang manusia, tapi satu langkah yang besar untuk manusia sejagat”, gomel Mustafa seorang diri lalu menekan punat itu . Mustafa tersenyum . Langkahnya menuju ke dok juruterbang .

  “Permainan bermula”, kata Mustafa tersenyum sinis .

-MOHD NAZIRUL AKMAL BIN MALIEK ZALIEZAM-

0 comments:

Post a Comment