Friday 13 November 2015

BERSIHKAN KOTORAN HATI

0


Perkara yang tidak baik umpama debu; Walau macam mana pun kita elak, pasti akan ada yang melekat pada tubuh kita setiap hari. Apalagi dalam dunia sekarang ini. Ya, begitulah juga hati kita dan diri kita. Walau macam mana kita jaga diri, pasti akan ada kotoran yang melekat padanya. Manusia pastinya tidak terlepas daripada melakukan dosa. Namun, ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan untuk membantu kita membersihkan kembali kotoran yang  terpalit di hati kita. Antaranya termasuklah : 



1. Dekatkan diri dengan al-Quran


Jangan jadikan al-Quran hanya simpanan di dalam rumah. Sebaliknya bacalah ia. Sekurang-kurangnya usahalah baca satu muka surat al-Quran sehari. Jika mampu, hayati tafsirnya. Lebih baik jika mampu hadam isi kandungannya dan sekaligus mengamalkan isi kandungannya.


2. Usaha tinggalkan kejahatan

Tiada manusia yang sempurna. Kita semua pasti melakukan kesilapan sama ada secara sengaja ataupun tidak. Tetapi, apa yang penting adalah kita menyesal dengan kesilapan yang telah kita lakukan itu dan benar-benar berazam untuk tinggalkannya.


3. Berteman dengan orang yang baik

Manusia selamanya tidak akan mampu untuk hidup sendiri-sendiri. Lidi sebatang pasti amat mudah dipatahkan berbanding segenggam lidi. Betul kan ? Jadi, tersangatlah penting untuk kita mempunyai sahabat yang bukan sahaja dapat menegur salah kita tapi juga dapat menasihati kita agar terus istiqamah atas jalan kebaikan.

4. Biah (suasana) yang baik

Biah itu maksudnya suasana, Suasana sekeliling sebenarnya sangat mempengaruhi diri kita. Carilah suasana yang dapat membantu dan mendorong kita untuk melakukan kebaikan. Apabila kita sentiasa dikelilingi dengan suasana yang baik, secara tidak langsung ia akan dapat memotivasikan diri kita untuk sama-sama melakukan kebaikan.

5. Sibukkan diri dengan kebaikan

Hati umpama sebuah bekas yang tidak pernah kosong. Jika sebuah bekas tidak diisi dengan molekul-molekul air, maka molekul-molekul udara akan berlumba-lumba mengisi ruang tersebut. Begitu juga halnya dengan hati. Jika kita tidak sibukkan hati kita dengan perkara-perkara baik, pasti ia akan dipenuhi dengan perkara-perkara baik, pasti ia akan dipenuhi dengan perkara-perkara yang jahat. Nauzubillah. 


6. Jaga solat

Cuba solat di awal waktu. Jangan bertangguh. Seboleh mungkin, tinggalkan urusan duniawi yang sedang kita lakukan dan bersegeralah menyahut seruan Allah. Rasulullah S.A.W bersabda (maksudnya) :



"Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang. Jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyang tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripada sembahyang fardunya, Allah berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada sembahyang fardunya ? Demikian keadaan amalnya yang lain." (HR at-Tirmidzi)

(Majalah Jom! : isu no. 30)


Wednesday 11 November 2015

PESANAN IMAM MUDA ASYRAF

0








"Untuk yang baru nak buat dakwah, saya sarankan buat je. Yang penting kita kena buat dulu, terjah dan dapatkan hikmah di sebalik semua tu."
     

Jelas beliau, dakwah itu mudah, Ada bermacam macam cara yang kita boleh guna. Apa yang penting, kita perlu mulakan langkah untuk berdakwah dan hadapi apa sahaja yang bakal mendatang.

Beliau juga berharap agar pendakwah-pendakwah muda kini dapat memupuk sifat suka membaca dalam diri mereka. 

Banyak membaca boleh menambahkan ilmu pengetahuan dan meninggikan tahap intelektual seseorang individu itu. Jika dilihat di stesen-stesen bas, LRT dan di restoran-restoran, kebanyakan orang yang membuka buku - tidak kiralah sama ada membaca atau tidak- adalah orang-orang yang bukan Islam. Kita sebagai orang Islam sepatutnya merasa malu dengan keadaan sedemikian.

Sepatutnya, kita sebagai Muslim perlu lebih berusaha untuk menjadi orang yang berilmu. Bukankah menuntut ilmu itu jalan yang membawa ke syurga ? Moga dengan ilmu itu, kita dapat menunjukkan - melalui kata-kata dan perlakuan- bahawa Islam itu indah dan rugilah mereka jika tidak mengambilnya menjadi cara hidup.

(Majalah Jom! isu 09)